Tuesday 21 June 2011

OBJEKTIF PERLAKSANAAN

Memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan belia untuk mengikuti kursus kemahiran secara modular di premis kelolaan Kementerian Belia dan Sukan yang berhampiran dengan tempat tinggal kumpulan sasar.

KUMPULAN SASAR

  • Belia
  • Komuniti setempat
  • Ibu tunggal
  • Pekerja industri
  • Pesara dan lain-lain

SYARAT PERMOHONAN

  • Warganegara Malaysia
  • Umur 15 tahun ke atas
  • Sanggup menjalani kursus mengikut jumlah jam yang ditetapkan
 

PERSIJILAN

Sijil Penyertaan KBS (sijil boleh dijadikan bukti bagi memohon Sijil Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT)

TARIKH PENGAMBILAN

APRIL 2011

LOKASI PERLAKSANAAN KURSUS

  • Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)
  • Kompleks Belia dan Sukan Negeri
  • Kompleks Rakan Muda
  • Industri/majikan

Monday 13 June 2011

Latar Belakang IKBN

Di awal penubuhan, Bahagian ini (dahulu Cawangan Kemahiran) merupakan salah satu cawangan di Bahagian Pembangunan Belia. Pada tahun 2001, ianya telah dinaiktaraf menjadi Bahagian Pembangunan Kemahiran melalui penyusunan semula Kementerian Belia dan Sukan. Sejak dari itu, Pengarah Bahagian bertanggungjawab kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), KBS.

Penyusunan semula Bahagian Pembangunan Kemahiran ini disebabkan fungsi yang semakin bertambah dalam merancang dan mengawalselia program latihan kemahiran melalui pendekatan seperti berikut:
- Kursus kemahiran sepenuh masa di Institut Kemahiran Belia Negara (IKTBN/IKBN)
- Kursus Bina Insan (kepimpinan, keusahawanan, disiplin) kepada belia
- Kursus Kemahiran Jangka Pendek dan Customised kepada belia
- Kursus Kemahiran di institusi swasta (program tajaan pelatih)

Objektif

Menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia melalui pelbagai pendekatan untuk melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan negara

Pengenalan

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Belia telah diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 1964. Matlamat awalnya adalah untuk menangani masalah pengangguran dengan menawarkan program latihan kemahiran di kalangan belia tercicir. Pada awal tahun 1990-an program latihan diperluaskan kepada usaha pembangunan sumber manusia iaitu melatih belia dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional untuk melahirkan tenaga mahir bagi keperluan sektor perindustrian negara.
Sehingga kini Kementerian Belia dan Sukan mempunyai 15 IKBN termasuk sebuah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN). Tambahan 6 buah IKBN lagi sedang diperingkat pembinaan dan dijangka membuat pengambilan pertama pada tahun 2011.
Pembinaan IKBN membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan lebih banyak peluang latihan kemahiran kepada belia dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional selaras dengan keperluan tenaga mahir. Penambahan kursus dalam pelbagai bidang serta peningkatan tahap kemahiran mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.
Matlamat penubuhan IKBN ialah :
- Menyediakan peluang latihan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada belia lepasan sekolah.
- Memberikan pendedahan keusahawanan dalam bidang kemahiran yang diperolehi.
- Mengadakan program kepimpinan, kerohanian, dan kenegaraan bagi menerap / membentuk belia yang mempunyai jati diri unggul.
IKBN / IKTBN menjalankan konsep latihan bersepadu (Integrated Approach). Melalui sistem ini komponen latihan dijalankan secara serentak. Komponen latihan yang dilaksanakan :-
> Latihan Kemahiran
> Kepimpinan dan Ketatanegaraan
> Keagamaan dan Kerohanian
> Keusahawanan
> Kawad
> Sukan dan Rekreasi

Jenis Cawangan

1. Cawangan Perancangan Latihan dan Pembangunan
2. Cawangan Pembangunan Kurikulum
3. Cawangan Operasi Latihan
4. Cawangan Pentauliahan dan Hubungan Industri
5. Cawangan Latihan Luar
6. Cawangan Pentadbiran dan Kewangan

Senarai IKBN

1. IKBN Peretak, Selangor
2. IKBN Dusun Tua, Selangor
3. IKBN Wakaf Tapai, Terengganu
4. IKBN Jitra, KEdah
5. IKTBN Sepang, Selangor
6. IKBN Seri Iskandar, Perak
7. IKBN Pagoh, Johor
8. IKBN Chembong, Negeri Sembilan
9. IKBN Alor Gajah, Melaka
10. IKBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang
11. IKBN Bachok, Kelantan
12. IKBN Kuala Perlis, Perlis
13. IKBN Kinarut, Sabah
14. IKBN Miri, Sarawak
15. IKBN Temerloh, Pahang
16. IKBN Kemasik, Terengganu
17. IKBN Pekan, Pahang
18. IKBN Naka, Kedah
19. IKBN Bandar Penawar, Johor
20. IKBN Kuala Langat, Selangor
21. IKBN Tanah Merah, Kelantan

Sunday 12 June 2011

Bengkel Pengurusan Badan Sukan Yang Baru Berdaftar

Program ini telah diadakan pada 24-25 Mac 2011 bertempat di The Katerina Hotel,Batu Pahat, Johor. Program ini disertai oleh 30 buah persatuan dan melibatkan seramai 69 peserta termasuk Pegawai Belia dan Sukan sekitar daerah di Johor.

     Objektif utama program adalah untuk memberi pendedahan kepada persatuan yang    baru berdaftar tatacara menguruskan persatuan. Di antara input-input yang ditekankan di dalam bengkel ini adalah mengenai mesyuarat agung, mesyuarat agung luar biasa, Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) dan bengkel tatacara mengendalikan mesyuarat agung. Di akhir program, setiap peserta menerima sijil penyertaan dan sijil lulus pendaftaran persatuan. kelab sukan yang disampaikan oleh Y. Bhg. Puan Rohatul Akmar Binti Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya Sukan, Malaysia.

Objektif

  • Meningkatkan penyertaan masyarakat dalam sukan massa, sukan lasak, sukan tradisional di kalangan semua golongan masyarakat ke arah mewujudkan perpaduan nasional dan imej “Malaysia Cergas”.
  • Memantap, mengiktiraf dan membantu meningkatkan jumlah persatuan-persatuan sukan massa bagi tujuan melahirkan pemimpin-pemimpin, pengurus dan tenaga penggerak Sukan Massa di semua peringkat.
  • Menyediakan prasarana dan kemudahan-kemudahan sukan bagi memberi lebih banyak ruang kepada penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti-aktiviti Sukan Massa.
  • Meningkatkan hubungan mantap dan perkongsian bijak ( Smart Partnership) dengan sektor swasta dalam pembangunan Sukan Mas

Visi, Misi Dan Objektif

Visi
Peneraju Dalam Mengupayakan Pembangunan Belia Dan Sukan Yang Terbilang Dan Masyarakat Berbudaya Sukan Menjelang Tahun 2015.
Misi
Membina Bangsa Malaysia Yang Patriotik Dan Bersatupadu Melalui Program Pembangunan Belia Dan Sukan Yang Strategik.
Objektif


Untuk membina masyarakat belia yang bersatu padu, berdisiplin, berakhlak tinggi dan bergerak maju dalam bidang sosial dan ekonomi serta untuk membina masyarakat yang sihat, cergas dan berbudaya sukan ke arah perpaduan dan pembangunan negara.

Tabung Prihatin Mangsa Tanah Runtuh

          Keprihatinan Himpunan Sejuta Belia 2011 ditunjukkan lagi melalui pelancaran Tabung Prihatin Mangsa Tanah Runtuh yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Shabery Cheek bertempat di Podium A Menara KBS.

Tabung yang dilancarkan ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat yang kehilangan tempat untuk berlindung setelah asrama mereka musnah dalam tragedi tanah runtuh pada 21 Mei yang lalu.
      Ikon Sukarelawan, Suhail Mohamad Kamaruddin yang turut membantu mangsa tanah runtuh bersama Sukarelawan Rakan Muda semasa kejadian berlaku dan juga melawat mangsa di Hospital Ampang, menyeru agar belia khususnya dan juga pengunjung Himpunan Sejuta Belia 2011 menunjukkan keprihatinan dengan memberi sumbangan seikhlas mungkin kepada mangsa yang terdiri daripada anak yatim dan pelajar tahfiz.
      Pengunjung Himpunan Sejuta Belia boleh menyalurkan sumbangan mereka bermula 25 Mei sehingga 29 Mei 2011. Help Desk Sukarelawan Presint 4, Presint 5, Presint 18 (Kompleks Futsal), Presint 6 (Kompleks Sukan Air) dan juga Presint 2 ( Monumen Alaf Baru) merupakan tempat Tabung Prihatin Tanah Runtuh akan diletakkan sepanjang Himpunan Sejuta Belia 2011 ini berlangsung.Dato Sri Shabery Cheek merupakan penyumbang pertama yang memberi sumbangan kepada Tabung Prihatin Mangsa Tanah Runtuh ini. Untuk majlis pelancaran ini sahaja, tabung tersebut telah berjaya mengutip sebanyak RM 13,000.

Sasaran Himpunan Dua Juta Belia 2012-PM

            Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia amat berpuas hati dengan penganjuran Himpunan Sejuta Belia tahun ini yang mendapat sambutan penyertaan luar biasa oleh golongan belia mahu sambutan yang lebih besar pada tahun hadapan dengan sasaran Himpunan 2 Juta Belia 2012.

Menurut Perdana Menteri, perhimpunan yang lebih hebat akan dianjurkan untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh seminggu.
“Perhimpunan yang lebih hebat pada tahun hadapan bakal menyaksikan Putrajaya dipenuhi lautan belia dari pemulaan Boulevard hingga ke penghujung Boulevard, kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia aman dan stabil” katanya ketika berucap pada Himpunan Sejuta Belia di sini hari ini.
Perdana Menteri juga turut meluangkan masa paling lama dalam masa separuh hari dengan melakukan tinjauan mesra iaitu Walkabout di sembilan lokasi bermula pukul 2.45 petang dengan menaiki trem dan turut menyempurnakan 16 program.
Di setiap perhentian yang disinggahi beliau, beribu belia berebut-rebut untuk bersalam dengan Perdana Menteri serta mengambil peluang bergambar dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Lawatan beliau turut diiringi oleh Y.B. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan menteri Belia dan Sukan, Y.B. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia dan Y.Bhg. Dato’ Mohid Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

(Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia,29 Mei 2011)

Menteri Belia dan Sukan Melawat Suami Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, KBS di Hospital Pantai Bangsar.

Bertempat di Pantai Hospital Bangsar, YB. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkesempatan melawat En. Abdul Rased Bahari suami kepada Puan Wasitah binti Yusof, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Rakan Muda.


En. Abdul Rased Bahari telah menjalani rawatan Coronary Artery Bypass - Saphenaus Vein atau lebih dikenali sebagai Rawatan Pemintasan Jantung.

Semasa lawatan tersebut, YB. Menteri telah diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha ( Pengurusan) Y.Bhg.Datuk Jamil Salleh, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Y.Bhg. Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Y.Bhg. Dato' Zolkples Embong, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Bahagian Pembangunan Rakan Muda.

Menurut Puan Wasitah, En. Abdul Rased Bahari telah dimasukkan ke hospital pada 23 Mei dan pada 28 Mei, beliau telah menjalani pembedahan tersebut. Selepas menjalani pembedahan, dalam tempoh tiga hari, En. Abdul Rased Bahari telah ditempatkan di Unit ICU. Setelah tiga hari berada di Unit ICU En. Abdul Rased Bahari ditempatkan di wad biasa dan dijangka akan keluar dari hospital pada Jumaat ini 3 Jun 2011.

Menurut Puan Wasitah lagi, kondisi En. Abdul Rased Bahari berada di dalam keadaan stabil tetapi masih belum mampu bercakap dengan baik. Namun begitu dengan semangat untuk sembuh dan kekuatan diri, En. Abdul Rased Bahari sudah mula berlatih untuk berjalan.

Lawatan yang mengambil masa hampir 30 minit itu cukup memberi makna yang besar kepada Puan Wasitah di mana selain dari sokongan moral yang diberikan oleh YB Menteri beliau juga turut memberikan sumbangan peribadi beliau kepada suami Puan Wasitah.

Kempen Senyum KBS

“Senyum bakal menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik dan sempurna”. Itulah ungkapan yang diucapkan oleh Dato’ Sri Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan dalam ucapan perasmian Pelancaran Kempen Senyum KBS yang telah dijalankan pada 19 Mei bertempat di Podium B, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kempen Senyum KBS ini dijalankan sebagai salah satu usaha untuk membentuk persekitaran kerja yang positif di samping dapat menceriakan suasana serta merapatkan perhubungan diantara anggota KBS itu sendiri.
Selain itu, Dato’ Sri Shabery Cheek juga turut menyatakan nilai-nilai yang perlu disemai dalam diri warga KBS semasa menjalankan tugas. Nilai-nilai yang dikenali sebagai 8S ini mewakili salam, sayang, segak, segera, sempurna, sensitif, senyum dan juga sopan.
Kempen yang dijalankan ini tidak hanya terhad kepada warga KBS sahaja. Wakil-wakil daripada Jabatan Belia dan Sukan, Institut Kemahiran Belia Negara dan juga wakil agensi turut menerima bunting sempena Pelancaran Kempen Senyum KBS ini.
Pada majlis yang sama juga, Menteri Belia dan Sukan turut berbesar hati untuk menyampaikan hadiah dan sijil kepada pekerja terbaik bagi bulan Mac Fadhilah Binti Ahmad dan Salawati Bt. Jamaludin serta pekerja terbaik bagi bulan April Hazri Nizam Bin Zakaria dan juga Rohimah Bt. Tumiran. Turut diadakan penyampaian Hadiah Pertandingan Futsal Piala KP (JBSN) dan juga penyampaian Kad Ulang Tahun Kelahiran Bulan Mei.

LTDL 2012 Bertaraf Dunia

Majlis pelancaran imej baru dan Pengumuman laluan Le Tour De Langkawi 2012 (LTdL) yang dijadualkan berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac 2012 telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Y.B Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek bertempat di Podium B, Menara Kementerian Belia dan Sukan.
Dengan bertemakan ‘Ready For The World’, LTdL edisi ke-17 ini sudah bersedia untuk dinaiktaraf ke tahap kategori ‘World Tour” dengan menerima lebih penyertaan daripada pasukan berstatus Pro Tour. Pada kali ini cabaran LTdL adalah sejauh 1,414.8 km yang bakal menguji kemampuan dan juga stamina para pelumba.
Cabaran LTdL akan bermula di Putrajaya pada 24 Februari 2012 dan bakal berakhir di Terengganu pada 4 March 2012. Putrajaya, Melaka, Johor, Selangor, Pahang dan juga Terengganu merupakan laluan yang bakal dilalui oleh para pelumba dalam usaha untuk menamatkan perlumbaan mereka.
LTdL 2012 yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara sebagai kesinambungan kepada penganjuran  pada tahun 2010 dan 2011 dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Y.Bhg Dato’ Mohid Bin Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Y.Bhg Dato’ Zaidon Bin Haji Asmuni , Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Y.Bhg Datuk Jamil Bin Salleh, Y.Bhg. Dato’ Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan juga Presiden PKBM Tuan Hj Abu Samah Wahab.

Pelancaran Hari Belia Negara 2011

         Kira-kira 10,000 orang membanjiri pelancaran bersempena Hari Belia  yang bertemakan ‘Pemangkin Transformasi’ yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertempat di Jalan Bukit Bintang.

       Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa golongan belia supaya tidak mengamalkan budaya ‘cincai’ atau ‘biasa-biasa’ dalam setiap perkara yang dilakukan. Beliau berkata, perkataan cincai tidak ada dalam kamus kejayaan pada era persaingan global yang semakin kompetitif ketika ini. Bertemakan ‘Pemangkin Transformasi’  adalah menyatakan sokongan golongan muda ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus berdaya maju.
      Beliau turut menegaskan bahawa golongan belia perlu menggembeleng usaha bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merupakan dua senjata utama ke arah kecemerlangan diri
Tidak ketinggalan juga, Muhyiddin yang harijadinya jatuh pada 15 Mei berkata, dengan adanya iltizam di kalangan para belia untuk mengamalkan budaya kecemerlangan, saya pasti hasrat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, seterusnya mencapai status negara maju berjaya dicapai," katanya

Sejarah Latar Belakang

Sejarah penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula pada tahun 1953 dengan tertubuhnya Bahagian Kebudayaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah diberi tanggungjawab mengenai belia. Seterusnya pada tahun 1964 Bahagian Kebudayaan ini telah dipindahkan di bawah Kementerian Penerangan. Dalam masa yang sama berikutan kegiatan belia secara berpersatuan yang semakin berkembang, maka bagi tujuan memupuk serta memantau perkembangan tersebut, Bahagian Belia telah ditubuhkan di bawah kementerian berkenaan. selain itu di bawah Kementerian Penerangan ini juga telah ditubuhkan Bahagian Sukan.
Kementerian Belia dan Sukan hanya diwujudkan pada 15 Mei 1964 iaitu bersempena Hari Belia Negara pada tahun tersebut. Pada tahun 1972, Bahagian Kebudayaan telah diwujudkan dan dengan itu nama Kementerian Belia dan Sukan ini telah diubah kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sehingga tahun 1987 apabila Bahagian Kebudayaan telah dipindahkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dengan perpindahan Bahagian Kebudayaan tersebut, nama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah kembali kepada nama asalnya iaitu Kementerian Belia dan Sukan, sehingga sekarang.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah diamanatkan untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Malaysia khususnya dalam pembangunan Belia dan Sukan.

BELIA DAN SUKAN

Template by:

Free Blog Templates